Berbuka Puasa Di Masjid

SALAH SATU amalan yang seharusnya dijadikan rutin oleh masyarakat Islam kita ialah berbuka di surau atau di masjid.

Memang pada mulanya, kita akan berasa kekok dan tidak selesa. Makanan disediakan mungkin tidak menepati citarasa kita. Namun begitu, jika kita amati maksud sebenar ibadah puasa ini, kita akan rasa senang hati dan tidak kisah apa juadah sekali pun. Itu semua rezeki Allah.


Bagi penduduk di Lembah Klang, rasanya dikebanyakan surau atau masjid mengadakan program berbuka. Ia bukan sahaja mendidik diri dan keluarga hidup dalam satu komuniti Islam, malah ia banyak mengajar erti kesabaran dan bersyukur dengan segala pemberian Allah SWT. Di samping itu juga, ia dapat mengurangkan wang kocek keluar di bazar Ramadhan. Persediaan sambutan hari raya juga akan lebih bermakna.

Di Surau Al-Mukhlisin ada juga disediakan juadah berbuka puasa, tetapi ia tidaklah sehebat di surau-surau besar dan masjid. Kami hanya menyediakan peruntukan kecil sahaja. Itu pun hanya mampu menjamu lebih kurang 10-15 orang sahaja. Bukan nasi tomato atau nasi ayam dijadikan santapan, tetapi sekadar kuih muih dan mi sahaja. Cukuplah untuk mengalas perut berbuka sebelum pulang ke rumah dan makan nasi pula.

Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sudah. Segala ujian dan cabaran ditempuhi dengan penuh rasa kesyukuran.

0 comments: