Pada 13 April 2013 yang lalu, AJK Surau Al-Mukhlisin sudah mengadakan pemilihan AJK baru surau. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Munir.

Lebih kurang 25 orang ahli kariah yang hadir ke mesyuarat pada kali ini.  En. Munir mengucapkan berbanyak-banyak ucapan terima kasih di atas segala sumbangan ahli-ahli dalam setiap aktiviti surau sebelum ini.

Mesyuarat juga telah memutuskan dan bersetuju dengan pelantikan Jawatankuasa baharu iaitu :

1) Pengerusi                : En. Wan Zayuhisham WY
2) Timb. Pengerusi       : En. Rostam Afendi Jalaluddin
3) Setiausaha              : En. M. Rofi
4) Bendahari                : En. Herman
5) Timb. Bendahari       : En. Zahrin

AJK : Seramai 18 orang ahli kariah yang hadir secara automatik dilantik sebagai AJK Surau Al-Mukhlisin.

KULIAH MAGHRIB MINGGUAN

ALHAMDULILLAH dengan sokongan daripada ahli kariah, pada setiap minggu ( hari Ahad ) Kuliah Maghrib dapat dijalankan dengan lancar.

Para penceramah yang dijemput ialah :

1) Ustaz Nazri - Penceramah Bebas
2) Ustaz Hafizullah - Imam Masjid 24
3) Ustaz Hajar - UiTM
4) Ustaz Suhaimi - JAIS
5) Ustaz Amir - Penceramah Bebas

Pihak surau juga pernah menjemput para penceramah undangan bagi mengisi slot-slot tertentu seperti :

1) Ustaz Amaluddinn - Penceramah Bebas/Artis Nasyid
2) Ustaz Muhammad Osman

Pihak surau masih mengharapkan lebih ramai lagi ahli kariah Taman Puncak Perdana mengimarahkan lagi majlis ilmu di Surau Al-Mukhlisin ini.

Segala sumbangan ahli kariah dan pihak-pihak lain juga diperuntukan untuk membiayai sumbangan untuk penceramah dan jamuan ringan selepas Kuliah Maghrib.

KAUNTER ZAKAT DIBUKA MALAM INI

Assalamualaikum wbt.

MAKLUMAN KEPADA SEMUA PENDUDUK TAMAN PUNCAK PERDANA.

Ustaz Hajar akan membuka KAUNTER ZAKAT di Surau Al-Mukhlisin sebaik sahaja selesai SOLAT TARAWIH pada 10 Ogos 2011.

Oleh itu, semua penduduk boleh bersiap sedia dengan wang tunai untuk menunaikan zakat pada malam tersebut.

Jumlah zakat bagi setiap orang pada tahun ini ialah RM7.00.

Insya-Allah. Semoga diberkati.



Berbuka Puasa Di Masjid

SALAH SATU amalan yang seharusnya dijadikan rutin oleh masyarakat Islam kita ialah berbuka di surau atau di masjid.

Memang pada mulanya, kita akan berasa kekok dan tidak selesa. Makanan disediakan mungkin tidak menepati citarasa kita. Namun begitu, jika kita amati maksud sebenar ibadah puasa ini, kita akan rasa senang hati dan tidak kisah apa juadah sekali pun. Itu semua rezeki Allah.


Bagi penduduk di Lembah Klang, rasanya dikebanyakan surau atau masjid mengadakan program berbuka. Ia bukan sahaja mendidik diri dan keluarga hidup dalam satu komuniti Islam, malah ia banyak mengajar erti kesabaran dan bersyukur dengan segala pemberian Allah SWT. Di samping itu juga, ia dapat mengurangkan wang kocek keluar di bazar Ramadhan. Persediaan sambutan hari raya juga akan lebih bermakna.

Di Surau Al-Mukhlisin ada juga disediakan juadah berbuka puasa, tetapi ia tidaklah sehebat di surau-surau besar dan masjid. Kami hanya menyediakan peruntukan kecil sahaja. Itu pun hanya mampu menjamu lebih kurang 10-15 orang sahaja. Bukan nasi tomato atau nasi ayam dijadikan santapan, tetapi sekadar kuih muih dan mi sahaja. Cukuplah untuk mengalas perut berbuka sebelum pulang ke rumah dan makan nasi pula.

Semoga puasa kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sudah. Segala ujian dan cabaran ditempuhi dengan penuh rasa kesyukuran.

MUHASABAH RAMADHAN


SUMBER ENTRI MUHASABAH RAMADHAN : BLOG GENTA RASA , USTAZ PAHROL MOHD JUOI

Ramadhan datang dan pergi. Apakah kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.

“Apa perubahan yang kita nak buat tahun ni?” tanya isteri.

Saya termenung, banyak… tapi mampu kah.

“Kita teruskan berbuka bersama di masjid. Kemudian menunggu Isyak, baca Quran dan solat Terawih.”

“Perubahan yang sama sahaja,” kata isteri seakan merungut.

“Itu pun payah kita buat kan?” tingkah saya.

Teringat betapa ada ‘protes-protes’ yang terpaksa saya hadapi sewaktu melaksanakan program perubahan itu dua tahun lalu. Semua pihak terasa kehilangan rutin atau kebiasaan masing-masing dengan pelaksanaan program itu. Along, tak mahu berterusan di mesjid (dari sebelum maghrib hingga selepas terawih) kerana kehilangan rutinnya, nak ‘relaks-relaks’ selepas solat maghrib. Angah pula akan terlepas berbuka dengan makanan kegemarannya – mee goreng mamak, tahu sumbat dan makanan yang pedas-pedas kegemarannya. Makan di masjid, menurut sahaja resipi yang disediakan. Begitu juga anak-anak yang lain, ada sahaja yang terpaksa ‘dikorbankan’ dengan pelaksanaan program sebelum maghrib hingga selesai solat terawih di rumah Allah.

“Awak masih ingat waktu kita mula berubah… daripada berbuka dengan makan nasi kepada berbuka hanya dengan air dan kurma?”
Isteri tersenyum. Sudah lapan tahun tradisi berbuka dengan kurma dan air kami pertahankan. Mulanya susah juga, tapi lama kelamaan dah jadi kebiasaan. Perlahan-perlahan semuanya sudah terbiasa.

“Saya penat hanya mengubah rutin-rutin lahiriah…” keluh isteri.

“Awak rasa macam mana?”

“Saya nak sesuatu yang lebih berkesan… perubahan dalaman. Usia kita semakin senja, takut kita pergi tanpa mencapai tujuan.”

Saya akur. Kebimbangannya kebimbangan saya juga. Apakah puasa kita mencapai tujuan – bertakwa?

“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”

“Apakah puasa kita telah mencapai takwa?”

“Lihat sahaja tanda-tanda orang bertakwa, apakah sudah ada pada diri kita?”

Sampai di situ, isteri saya terdiam. Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.

“Orang bertakwa… mengawal marah.”

“Orang bertakwa… memberi dalam susah dan senang.”

“Orang bertakwa … jika terlanjur melakukan dosa, segera mengingati Allah dan bertaubat kepada-Nya.”

“Orang bertakwa… seorang yang pemaaf.”

Pengertian itu saya sebut berulang-ulang. Mengulang-ulang apa yang telah Allah tegaskan di dalam Al Quran.

Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.

“Perubahan dalaman ni kita mulakan dalam diri masing-masing. Kita hanya boleh pesan memesan sahaja.”

Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya. Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?

Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?
“Buat apa tu bang?” tegur isteri, memintas lamunan saya.
“Tak, bila awak sebut-sebut tentang hal-hal dalaman tu, memaksa saya merenung dalam-dalam.”

Di luar bilik, anak-anak ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam kami berdua seakan-akan menangisi Ramadhan kami yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?
PADA RAMADAN INI…

Ramadan ini akan pergi
Namun yang pergi hanya giliran purnama
Bukan rasa dan maknanya
Semuga semuanya masih… di jiwa
yang sentiasa merindui
barakah dan maghfirahnya

(Apakah roh Ramadan ini
akan terus menerangi
… bulan-bulan seterusnya?)

Nanti Syawal bertamu jua
Bersama wajah seindah fitrah
Tasbih, tahmid dan takbir pun diucapkan
Meraikan satu kemenangan
di satu peperangan…
di dalam diri

(Apakah kita berjaya?
atau sekadar menumpang gembira…
di pinggiran kebesaran-Nya?)

Ramadan dan Syawal akan pergi
silih berganti masa
Dan kita bagaimana?
Masih di pelabuhan alpa?
Masih di dermaga dosa?
Dan bahtera kita terus kelelahan
..dihempas ombak keresahan

(Akan tiba saatnya
Ketika Ramadan dan Syawal datang jua
Tapi kita telah tiada…
untuk menyambutnya!)


MENELADANI PUASA RASULULLAH SAW


DALAM ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah- sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.”

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah:

* Memantapkan niat – Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya.” (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

* Melaksanakan makan sahur – Anas bin Malik r.a. telah berkata telah bersabda Rasululla SAW. yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu adalah ganjaran pahala dari Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

* Imsak Rasulullah – Rasululalh SAW. bersabda : “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

* Mempercepat berbuka – Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT: “Hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

* Memperbanyak membaca al-Quran – Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).

Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya sepuluh kali ganda.

Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

* Memperbanyakkan sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk.Segala tingkah laku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak.

Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malam bulan Ramadan ada suara yang memanggil: “Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka.”

MASJID PUNCAK PERDANA

ALHAMDULILLAH pada malam semalam ( 12 Julai 2011 ) pada pukul 9.30 malam yang bertempat di Surau Al-Ikhwan Taman Sandaran Permai, TIGA wakil AJK Surau Al-Mukhlisin (En Munir, En Muhamad Rofi dan En Wan Zayuhisham ) dijemput hadir menyertai Mesyuarat Pembinaan Masjid Puncak Perdana.

Ustaz Hajar Opir selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penaja Pembinaan Masjid Puncak Perdana mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Walaupun jawatankuasa ini bersilih ganti pengerusi dan ahli-ahli, usaha-usaha menjadikan impian membina Masjid Puncak Perdana tidak pernah padam dalam diri masing-masing. Usaha murni ini masih diteruskan walaupun sudah berlanjutan dua tahun. Semoga tuan/puan juga mendoakan agar hasrat pembinaan masjid ini menjadi realiti.Insya-Allah.

Tapak masjid ini berkeluasan 4.5 ekar ini akan diteruskan lagi dengan pelantikan pengerusi baru iaitu Datuk Khalid Sharif yang menetap di Taman Nusa Rhu.Insya-Allah pada entri akan datang kami akan masukkan gambar reka bentuk masjid tersebut. Jika terlaksana, ia merupakan satu rahmat buat ahli kariah Taman Puncak Perdana kerana kedudukan lokasinya begitu hampir sekali.

Pihak jawatankuasa sedang berusaha mengutip derma yang masih jauh kurang daripada yang diperlukan. Kupon akan mula dibuat dan dicetak untuk memudahkan orang ramai menyumbangkan derma masing-masing.

Kami akan kemaskinikan maklumat berkaitan usaha pembinaan masjid ini dan nombor akaun untuk pihak orang ramai menyumbangkan derma.

Salah satu usaha ialah setiap penyumbang akan dikecualikan dikenakan cukai pendapatan melalui Saham Wakaf Selangor. Pihak jawatankuasa akan menyiapkan kertas kerja untuk memastikan pihak JAIS meluluskan permohonan ini.

Kami sebagai wakil AJK Pembinaan Masjid Puncak Perdana ini menyeru seluruh penduduk Taman Puncak Perdana khususnya dan tuan/puan yang berada di lain-lain tempat di seluruh dunia ini dapat menyumbangkan derma untuk mempercepatkan pembinaan masjid ini. Semoga usaha baik ini dapat diterima oleh Allah s.w.t. Insya-Allah.

Jazakallahu Khairan buat semua sahabat pembaca blog ini.

Wallahualam.

;;